Assalamualaikum w.b.t.
Sebelum sifat munafik ini diterangkan dengan panjang lebar, penulis ingin membawakan kepada pembaca maksud munafik yang sentiasa menjadi musuh agama. Munafik secara umumnya merujuk kepada seseorang yang memperlihatkan keimanan pada zahirnya tetapi menyembunyikan kekafiran di dalam hatinya. Menurut Imam Nawawi, apabila orang yang beriman mempunyai dan menyerupai sifat-sifat munafik.maka ianya disebut nifak iaitu melahirkan sesuatu yang menyalahi hatinya.Allah telah merakamkan tentang munafik ini didalam Al-Quran yang berbunyi:
Maksudnya:
"Dan di antara manusia ada yang berkata: "Kami telah beriman kepada Allah dan kepada hari akhirat" padahal mereka sebenarnya tidak beriman.Mereka hendak memperdayakan Allah dan orang-orang yang beriman, padahal mereka hanya memperdaya dirinya sendiri, sedang mereka tidak menyedarinya.Dalam hati mereka (golongan yang munafik itu) terdapat penyakit (syak dan hasad dengki), maka Allah tambahkan lagi penyakit itu kepada mereka; dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya, dengan sebab mereka berdusta (dan mendustakan kebenaran)".
(Surah Al-Baqarah: ayat 8-10)
Itulah hakikat munafik hanya berpura dalam kebenaran. Perkara ini amat dibenci Allah kerana selain boleh merosakkan akhlak sifat ini juga boleh meruntuhkan agama kerana orang munafik ini ibarat "musuh didalam selimut" yang sentiasa mencari jalan untuk menjatuhkan Islam malahan mencemarkan nama baik Islam sendiri dengan memberikan padangan yang tidak baik kepada agama.
Diantara Sifat-sifat Munafik yang dapat dikenal pasti adalah seperti berikut:
1. Malas beribadah,melalaikan solat fardhu dan tidak ikhlas dalam menunaikan kewajipan.
2. Melakukan kemungkaran dalam sembunyi malah menyuruh kepada mungkar dan melarang kepada yang makruf.
3. Menyembunyikan ilmu,riak dan hasad dengki jika melihat kelebihan insan lain.
4. Suka bedusta serta mungkir janji, fitnah dan caci maki menjadi kebiasaan.
5. Menghalang orang dari melakukan kebaikan serta suka kepada kesesatan dan menyesatkan orang.
6. Bermuka-muka dan memang sentiasa katanya inginkan permusuhan yang meleraikan silaturahim.
7. Keluh kesah apabila ditimpa masalah dan apabila gembira tidak mensyukuri nikmat yang ada.
8. Sentiasa mengkhianati amanah yang diberi.
9. Menghalalkan perkara yang haram dan sentiasa membuat kerosakan di muka bumi.
10. Menuduh orang beriman itu bodoh,mengubah dan menggunakan ayat-ayat Allah untuk kepentingan diri serta berasa gembira apabila musibah menimpa orang beriman.
apa yang dinyatakan diatas adalah sebahagian daripada sifat-sifat munafik yang dapat dikenali, sifat ini amat tersembunyi hingga kita tidak dapat mengenalinya secara terperinci.
Sabda Baginda Rasulullah s.a.w:
"Ada tiga tanda-tanda orang munafik,jika berkata ia dusta,jika berjanji ia mungkir, dan jika dipercayai ia khianat" (HR Muslim)
Perbuatan ini sebenarnya sudah menular dalam jiwa masyarakat Islam tanpa disedari. Oleh itu, setiap individu muslim wajib mengekang sifat ini agar diri selamat dari bahang nifak atau sifat munafik. Moga kita sama-sama menjadi insan yang sedar dan menjauhi sifat ini. InsyaAllah.
Sampaikan ilmu setiap hari, inilah saham yang tidak pernah rugi