photo akidah_zpsa5d101ab.png

:::Rakan:::

Thursday, September 13, 2012

Aurat: Pengertian dan Batasannya.


Assalamualaikum w.b.t…

Pengertian Aurat

Aurat diambil dari perkataan Arab 'Aurah' yang bererti “keaiban”. Manakala dalam istilah feqah pula aurat diertikan sebagai “bahagian tubuh badan seseorang yang wajib ditutup atau dilindungi dari pandangan”.Di dalam islam terdapat beberapa keadaan di mana masyarakat islam dibenarkan membuka aurat dan ia hanya pada orang-orang yang tertentu. Perintah penutupan aurat ini telah dirakamkan didalam Al-Quran, Firman Allah:



Dan hendaklah kamu tetap diam di rumah kamu serta janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang Jahiliyah zaman dahulu; dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat; dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya. Sesungguhnya Allah (perintahkan kamu dengan semuanya itu) hanyalah kerana hendak menghapuskan perkara-perkara yang mencemarkan diri kamu - wahai "AhlulBait" dan hendak membersihkan kamu sebersih-bersihnya (dari segala perkara yang keji).
(Surah Al-Ahzab: ayat 33)


Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
(Surah Al-Ahzab: ayat 59)


Batasan Aurat

1)Aurat lelaki dengan lelaki

Aurat lelaki yang wajib ditutupnya daripada pandangan seorang lelaki lain ialah bahagian tubuh badan antara pusat dan lututnya. Ini bererti bahawa seorang lelaki tidak diharuskan melihat aurat lelaki lain pada bahagian yang terletak antara pusat dan lututnya. Ini adalah pandangan jumhur ulama’.

Pendapat ini diambil dari hadis yang diriwayatkan oleh Jarhad al-Aslami r.a. yang menceritakan: “Rasulullah duduk bersama kami sedang pahaku ketika itu terbuka. Lalu Rasulullah berkata kepadaku;“Apakah kamu tidak mengetahui bahawa paha adalah aurat?”.
(Riwayat Imam Abu Daud, Tirmizi dan Malik)

2)Aurat wanita dengan wanita Islam

Aurat seorang wanita di hadapan wanita Islam adalah menyamai batasan auratnya dihadapan mahramnya yakni:

a) Menurut jumhur ulama’ antara pusat dan lutut. Jadi menurut pandangan ini, harus seorang wanita mendedahkan mana-mana bahagian dari badannya dihadapan wanita Islam kecuali bahagian antara pusat dan lutut sahaja.

b) Menurut sebahagian ulama’ seluruh badannya adalah aurat kecuali kepala,muka, dada, dua lengan dan dua betis. Jadi menurut pandangan ini, harus seorangwanita mendedahkan kepala, muka, dada, dua lengan dan dua betisnya di hadapan wanita Islam. Bahagian lain tidak harus didedahkan kerana ia masih tetap aurat walaupun di hadapan wanita Islam

3)Aurat wanita Islam dengan bukan Islam

Terdapat banyak khilaf di kalangan ulama' tentang aurat wanita Islam di hadapan wanita kafir antaranya:

a) Menurut sebahagian ulama' (iaitu setengah ulama' mazhab Maliki dan Syafie); aurat wanita Islam di hadapan wanita kafir ialah seluruh badan kecuali muka dan tangan sahaja, yakni sama seperti aurat wanita di hadapan lelaki ajnabi.

Ini bersesuaian dengan hadis Nabi:
Abdullah bin Abbas ada menyatakan, Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang maksudnya : " Tidak halal kaum wanita islam itu dilihat oleh kaum Yahudi dan Nasrani".

Dan juga mengambil dari perbuatan Saidina Umar r.a menulis kepada gabenornya Abi Ubaidah bin al-Jarrah: “Bahawa telah sampai berita kepadaku perempuan ahli zimmah memasuki tempat mandian wanita islam. Maka tegahlah daripada demikian itu dan halalkan selain mereka (perempuan ahli zimmah).”

b) Menurut mazhab Hanafi, mazhab Syafie (mengikut qaul yang muktamad) dan setengah ulama' mazhab Maliki; aurat seorang muslimah di hadapan wanita kafir ialah seluruh badannya kecuali bahagian yang terpaksa dizahirkan ketika bekerja kerana menjadi keperluan pada kebiasaannya untuk dizahirkan.

“Menurut Imam al-Qurtubi ini merupakan pandangan kebanyakan ulama' Salaf dan menjadi pandangan Ibnu Abbas, Mujahid dan Ibnu Juraij.”

c) Menurut sebahagian ulama' yang lain sama seperti auratnya di hadapan wanita Islam tadi iaitu antara pusat dan lutut (mengikut pandangan jumhur ulama').Pandangan ini merupakan mazhab Hambali dan pegangan sebahagian ulama' mazhab Syafie dan Maliki.

d)Ada di kalangan ulama' tidak mengkategorikan aurat wanita sesama wanita dengan kategori Islam dan kafir, akan tetapi dengan kategori baik atau jahat,berakhlak atau tidak berakhlak:

i) Wanita yang dikenali berakhlak dan baik harus membuka hijab di hadapannya sama ada ia Islam atau kafir (yakni sekadar yang harus dibuka di hadapan mahram).

ii) Wanita yang dikenali sebagai jahat dan tidak berakhlak tidak harus membuka hijab di hadapannya melainkan sekadar memperlihatkan muka dan tangan sahaja,tanpa mengira wanita itu Islam atau kafir. Begitu juga, jika berhadapan wanita yang tidak dikenali. Jadi, tatkala berhadapan dengan wanita yang jahat dan tidak berakhlak (sama ada ia Islam atau kafir) atau wanita yang tidak dikenali, tidak harus seorang muslimah mendedahkan tubuhnya melainkan sekadar muka dan tangan sahaja, iaitu sama seperti ketika ia berhadapan lelaki ajnabi.

Moga apa yang disampaikan ini dapat memberikan sedikit kefahaman dalam bab aurat kepada sahabat2 sekalian…insyaAllah…. Yang baik itu semestinya datang dari Allah dan yang kurang baik itu dengan izin Allah jua tetapi disandarkan kepada diri penulis….wallahu’alam.

Sampaikan ilmu setiap hari, inilah saham yang tidak pernah rugi

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...