photo akidah_zpsa5d101ab.png

:::Rakan:::

Sunday, September 9, 2012

Hadis 40: Jangan melampaui selain yang ditetapkan Allah.


Daripada Abu Tha'labah al-Khusyani Jurthum ibn Nasyer r.a. daripada Rasulullah SAW telah bersabda:

"Sesungguhnya Allah Ta'ala telah memfardhukan beberapa fardhu maka janganlah kamu menghilangkannya (iaitu janganlah kamu mempersia-siakannya dan meninggalkannya), Dia telah menentukan beberapa batasan, maka janganlah kamu melampauinya, Dia telah mengharamkan beberapa perkara, maka janganlah kamu mencabulinya dan Dia tidak menyatakan hukum tentang beberapa perkara, maka janganlah kamu cuba menyelidikinya".
(Hadis Riwayat Imam al-Daraqutni)

Nota: Hadis ini juga diriwayatkan dalam kata yang lain oleh Abu Dawud melalui Ibnu Abbas.


Pengajaran Hadis:

(1) Setiap mukmin dituntut supaya mematuhi titah perintah Allah SWT sama ada berbentuk suruhan fardhu mahupun larangan haram. Hadis tersebut mengingatkan setiap mukmin agar memelihara dengan baik segala amalan fardhu yang Allah SWT fardhukan, jangan sampai dipersiakan atau dihilangkan begitu sahaja.

(2) Demikian pula Allah menentukan beberapa batasan dan beberapa perkara haram, maka setiap mukmin dituntut agar benar-benar menjaga sempadan halal haram ini, jangan sampai dia mencabuli perkara haram apatah lagi kalau sampai menghalalkan perkara haram.

(3) Di samping itu, Allah SWT mendiamkan beberapa perkara iaitu tidak menyatakan halal haramnya secara jelas, maka janganlah kita menyusahkan diri mencari hukumnya. Allah berbuat demikian bukan kerana lupa, bahkan sebagai rahmat buat umat manusia demi memberi kemudahan bagi manusia. Hukum perkara yang ditinggalkan hukum halal haramnya adalah harus, iaitu boleh dilakukan.


Sampaikan ilmu setiap hari, inilah saham yang tidak pernah rugi

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...