photo akidah_zpsa5d101ab.png

:::Rakan:::

Wednesday, September 25, 2013

Mu'az Bin Jabal: Pemimpin Para Ulama'



Riwayat Hidup

Nama lengkap Mu'az bin Jabal bin Amr bin Aus Al-Ansari Al-khazraji, kebiasaan dipanggil Abu Abdul Rahman. Dilahirkan 20 tahun sebelum hijrah. Ini bermakna beliau lahir pada 602 Masihi dan umur Rasulullah pada tahun kelahiran beliau 33 tahun.  Dia turut serta dalam perjanjian Aqabah II. Beliau merupakan salah seorang dari 6 sahabat yang menghafal Al-Quran pada zaman Nabi. Dia turut serta dalam peperangan badar dan peperangan yang lain.

Personaliti Mu'az

Beliau adalah seorang sahabat yang terkenal dengan kecerdasan, otak dan fikiran yang cemerlang, manis tutur katanya. Kebiasaan beliau tidak banyak bercakap kecuali jika ditanya. Ketika bercakap lisannya memukau para pendengar. Beliau adalah seorang sahabat yang berwibawa, seorang yang dermawan, mempunyai budi pekerti yang baik dan berwajah tampan.

Kepintaran Mu'az

Nabi Muhammad s.a.w pernah mengutusnya ke Yaman sebagai hakim dan guru bagi penduduk setempat. Rasulullah mengatakan dalam sepucuk surat yang dibawa Muaz, “ Aku utuskan kepada kamu semua, orang terbaik dari kalangan keluargaku”. Sebelum beliau berangkat ke Yaman dalam usaha melaksanakan tugas sebagai hakim disana, telah berlaku dialog antara Rasulullah dan beliau yang dirakamkan dalam hadis:

Dari Mu'az bin Jabal r.a,bahawa Rasulullah s.a.w ketika mengirimnya ke Yaman bertanya :" Ya Mu'az bagaimana caranya engkau memutuskan perkara yang dibawa orang kepadamu?" Mu'az menjawab: "aku akan memutuskannya menurut kitab Allah" Nabi s.a.w bertanya lagi:" Kalau engkau tidak menemukan perkara tersebut dalam kitab Allah?". Mu'az menjawab:"aku akan memutuskannya menurut Sunnah RasulNya ".Lalu nabi SAW bertanya lagi: "Kalau perkara  itu tidak ditemukan juga dalam keduanya?". Lalu Mu'az menjawab:"Jika tidak terdapat dalam keduanya aku akan berijtihad tanpa ragu sedikitpun". Mendengar jawapan itu,Nabi Muhammad s.aw lalu meletakkan kedua tangannya kedada Mu'az dan berkata:" Segala puji bagi Allah yang telah memberi taufiq utusan Rasulullah,sehingga menyenangkan hati RasulNya".
(Hadis Riwayat Imam Tirmidzi dan Abu Dawud)

Beliau meriwayatkan 157 hadis, diantaranya:

Dari Mu'az r.a, beliau berkata:
Rasulullah saw. mengutusku, beliau bersabda: Engkau akan mendatangi suatu kaum dari Ahli Kitab. Kerana itu, ajaklah mereka kepada persaksian bahawa tiada Tuhan selain Allah dan sesungguhnya aku adalah utusan Allah. Jika mereka taat, maka beritahulah kepada mereka bahawa Allah mewajibkan mereka solat lima waktu dalam sehari semalam. Kalau mereka taat, maka beritahulah kepada mereka bahawa Allah mewajibkan mereka membayar zakat, yang diambil dari orang kaya di antara mereka dan diberikan kepada orang miskin di antara mereka. Jika mereka taat, maka waspadalah engkau terhadap harta mereka dan takutlah engkau dari doa orang yang dizalimi, kerana doa itu tidak ada hijab dengan Allah Taala.
(Hadis Riwayat Muslim)

Wafat

Beliau wafat ketika peperangan pembebasan wilayah Syam, beliau bersama Abu Ubaidah mengetuai tentera Islam pada ketika itu, Abu Ubaidah mengalami wabak penyakit dan melantik Mu'az bin Jabal untuk menggantikannya, tetapi malangnya beliau menghembuskan nafas yang terakhir pada hari tersebut. Beliau meninggal di timur Jordan pada 18 Hijrah bersamaan 639 Masihi. Jasad beliau dikebumikan di Al-Ghaur.


Sampaikan ilmu setiap hari, inilah saham yang tidak pernah rugi

1 comment:

  1. Salam ziarah daripada saya...Ikhwan anda :) "Cahaya Allah tidak pernah sirna"
    http://cahaya81ilahi.blogspot.com/

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...