:::Rakan:::

Saturday, July 7, 2012

Hadis 40: Firasat hati dalam mengenali kebajikan atau dosa


Daripada al-Nawwas ibn Sam'aan r.a. daripada Nabi SAW baginda bersabda:
Kebajikan itu ialah keelokan budi pekerti dan dosa itu ialah apa yang tergetar dalam dirimu dan engkau benci orang lain mengetahuinya.

(Hadis riwayat lmam Muslim)

Dan daripada Waabisoh ibn Ma'bad r.a. beliau berkata: Aku telah menemui Rasulullah SAW lalu Baginda bersabda: Engkau datang mahu bertanya tentang kebajikan?

Aku berkata: Ya.

Baginda bersabda: Mintalah fatwa dari hatimu. Kebajikan itu ialah suatu perkara yang diri dan hati merasa tenang tenteram terhadapnya, dan dosa itu itu ialah suatu perkara yang tergetar dalam dirimu dan teragak-agak di hati, sekalipun ada orang yang memberikan fatwa kepadamu dan mereka memberikan fatwa kepadamu.

(Hadis Hasan riwayat al-lmam Ahmad dan al-Darimi dengan isnad yang baik)


Pengajaran hadis:

Kebajikan atau kebaikan ialah perkara yang hati seorang mukmin merasa tenang dan baik, sedangkan kejahatan atau dosa pula ialah apa yang hatinya merasa keluh kesah, gementar dan merasa takut kalau-kalau diketahui oleh manusia. Seorang mukmin, dengan firasat hatinya boleh menduga baik buruk sesuatu perkara. Walau apapun pandangan orang lain, dia lebih berhak membuat pendirian berdasarkan iman dan firasatnya. Namun perasaan dan firasatnya itu tidak boleh bertukar menjadi hukum syara' atau fatwa yang mewajibkan orang lain mengikutinya.

la hanya boleh digunakan untuk dirinya sendiri. Kebaikan atau kebajikan yang diberikan kelonggaran untuk kita meminta fatwa hati ialah kebajikan yang masih kesamaran, adapun yang memang sudah ada nas yang jelas, maka ia mesti dianggap kebaikan biarpun hati berat menerimanya. Demikian juga keburukan yang sudah ada nas yang jelas, ia tidak boleh dipertikaikan atau ditakwil lagi berdasarkan perasaan dan firasat hati. Perasaan hati hanya boleh dipakai apabila selari dengan kaedah hukum syara' dan tidak bercanggah dengan hukum agama.

Sampaikan ilmu setiap hari, inilah saham yang tidak pernah rugi

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...