photo akidah_zpsa5d101ab.png

:::Rakan:::

Sunday, December 16, 2012

Uthman bin Affan: Tuduhan,Fitnah dan Fakta. (Bahagian 3)


Assalamualaikum w.b.t....

Isu 4:Khalifah Uthman bertindak menyalahi sunnah dengan tidak qasar solat ketika musafir

Hal ini terjadi isu apabila dikhabarkan Sayyidina Uthman tidak mengerjakan solat Qasar ketika bermusafir di Mina, satu lokasi di Tanah Haram Makkah (Tanah yang diharamkan bagi orang selain Muslim). Pada awalnya, Khalifah Uthman menunaikan solat secara qasar ketika sampai disana,tetapi pada tahun keenam pemerintahan beliau telah menunaikan secara genap pula yakni solat seperti biasa. Perkara ini telah menjadi buah mulut orang disekitarnya. Ramai sahabat telah menegur Khalifah Uthman berkenaan perkara itu, tetapi beliau meminta maaf dan menerangkan sebab beliau berbuat demikian,kata Sayyidina Uthman:

1. Aku beristeri dan mempunyai keluarga di Makkah,dengan itu aku sudah dikira sebagai bermukim dan terkeluar dari hukum orang bermusafir.
2. Aku ada memiliki banyak harta (tanah perkampungan) di kawasan Taif. Dengan sebab itu aku juga tidak bergelar musafir.

Bagi penulis ianya berkaitan dengan ijtihad Khalifah Uthman dan ianya bukan dibuat dengan membabi buta. Khalifah Uthman berijtihad dengan hukum itu dengan bertanya juga kepada sahabat-sahabat. Padahal Nabi s.a.w juga pernah berbuat demikian begitu juga dengan Aisyah r.a. pernah sembahyang penuh bila tiba di Mekah kerana beliau mengatakan itu adalah rumah anaknya. Maka, hal ini tidak sepatutnya menjadi hal yang besar hingga menjadi fitnah kepada beliau.



Isu 5: Khalifah Uthman membuat kerja bidaah dengan membakar Al-Quran

Khalifah Uthman membakar Al-Quran? Seorang sahabat Nabi membakar Kitabullah? bukankah ia merupakan perbuatan yang buruk? teruknya Khalifah Uthman! Itu hanya andaian manusia yang tidak mengetahui tentang perkara sebenar. Menurut Ibnu Al-Athir dan Ibnu Asakir: Perkara ini bermula apabila Huzaifa bin Yaman r.a bersama Said bin Al-As pulang dari peperangan Azarbaijan dan Armenia, mereka telah bersungut tentang perkara yang didengarnya ketika berada di Syam. Beliau mendengar bahawa penduduk Hims memberitahu kepada penduduk Kufah bahawa bacaan Al-Quran cara mereka sahaja yang tepat kerana guru mereka adalah Al-Miqdad yang menerima bacaan secara langsung dari Rasulullah s.a.w. Begitu juga dengan penduduk Kufah mendakwa guru mereka Abdullah bin Mas’ud r.a. Begitulah terjadi antara penduduk wilayah naungan Islam, penduduk Kufah dengan bacaan Abdullah bin Mas’ud, penduduk Basrah dengan bacaan Abu Musa, bacaan yang digelar “Lubal al-Fuad” dan penduduk Hims dengan bacaan Al-Miqdad dan Salim. Perkara ini amat membimbangkan sahabat-sahabat yang ada dan menyatakan kepada Khalifah Uthman dan memohon agar beliau berbuat sesuatu sebelum terjadinya perselisihan antara umat Islam. Khalifah Uthman bertindak cepat dengan meminjam mashaf asal yang lengkap dari Hafsah binti Umar Al-Khattab r.a. untuk dijadikan panduan. Beliau mengarahkan kepada Zaid bin Thabit, Abdullah bin al-Zubair,Saad bin Al-As, dan Abdul Rahman bin al-Harith supaya menulis semula dalam bentuk mushaf yang sempurna. Khalifah Uthman mengarahkan juga agar ianya ditulis dalam bentuk lisan Quraisy. Selepas selesai beberapa naskhah,maka Al-Quran tersebut dikirim ke wilayah-wilayah utama Negara Islam dan mengumpulkan Al-Quran yang lama agar boleh dibakar. Perbuatan Khalifah Uthman itu sebenarnya perkejaan yang mulia kerana menyelamatkan Umat Islam dari berpecah-belah seperti yang terjadi kepada Nasrani dan Yahudi berselisihan faham tentang kitab mereka.

Isu 6: Khalifah Uthman menyebabkan kehilangan Cincin Mohor Rasulullah

Cincin mohor ini asalnya dibuat ketika Rasulullah ingin menghantar surat kepada pihak kerajaan untuk menyeru ke jalan Allah. Baginda diberitahu oleh seseorang bahawa pihak berkuasa asing tidak menerima surat yang tidak mempunyai cop mohor. Lalu Rasulullah mengarahkan agar dibuat sebentuk cincin cop mohor dari besi,tetapi Baginda diminta oleh Jibril agar membuang cincin itu. Baginda mengarahkan pula dibuat cincin tersebut dari tembaga, maka sekali lagi diminta membuangnya.Diarahkan sekali lagi membuatnya dengan perak dan Jibril menerimanya, diarahkan agar mengukir di permukaannya perkataan Muhammad Rasulullah dalam bentuk tiga baris. Selepas kewafatan Baginda, cincin ini digunakan oleh Khalifah Abu Bakar sehinggalah beliau meninggal. Begitu juga dengan penggantinya iaitu Khalifah Umar r.a. Kemudian giliran Khalifah Uthman menjadi khalifah, beliau juga menggunakan cop mohor itu selama kira-kira enam tahun. Ibarat pepatah “malang tidak berbau”, pada suatu ketika satu projek menggali perigi untuk penduduk Madinah dijalankan di kawasan Aris. Khalifah Uthman sama-sama hadir ke tempat berkenaan. Seperti biasa beliau mengusap-usap cincin di jarinya itu, sambil memusing-musing dengan ibu jari, tiba-tiba dengan kehendak Allah cincin itu terjatuh ke dalam perigi berkenaan. Puas mereka dan mencarinya, sehingga air tersebut terpaksa dikeringkan tetapi tidak dapat juga dikesan. Khalifah Uthman menawarkan sejumlah wang yang besar untuk sesiapa yang menjumpai cincin tersebut tetapi tetap tiada yang tampil. Akhirnya Khalifah Uthman terpaksa membuat replika cincin tersebut sebagai gantinya. Perkara ini sebenarnya bukan akibat kecuaian tetapi ianya takdir yang telah ditetapkan, Khalifah Uthman juga seorang manusia biasa jadi perkara seperti ini tidak sepatutnya dijadikan dalil untuk menilai kredibiliti seseorang. Wallahu’alam.


Sampaikan ilmu setiap hari, inilah saham yang tidak pernah rugi

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...