photo akidah_zpsa5d101ab.png

:::Rakan:::

Monday, December 17, 2012

Uthman bin Affan: Tuduhan,Fitnah dan Fakta. (Bahagian Akhir)


Isu 7: Khalifah Uthman menggunakan harta benda Negara sebagai hadiah dan ganjaran kepada keluarga sendiri

Isu ini adalah lanjutan daripada isu sebelumnya, dan ianya banyak tercatat dalam penulisan yang menggambarkan hal ini menjadi punca kejatuhan pemerintahan Khalifah Uthman dan asbab beliau dibunuh. Sebelum menjawab tentang isu ini mari kita kenang kembali jasa dan sikap Sayyidina Uthman sebelum menjadi khalifah:

1. Sejak zaman Rasulullah s.a.w lagi Sayyidina Uthman merupakan tokoh yang paling banyak menyumbangkan harta kekayaan peribadi ke jalan Allah jika dibandingkan dengan orang lain sekalipun dibandingkan dengan Sayyidina Abu Bakar dan Sayyidina Umar r.a.
2. Tokoh yang paling mulia pada pandangan Allah dan Rasul-Nya, sehingga para malaikat pun segan dan malu kepadanya.
3. Seorang yang terlalu berani, kerana ikhlas dan yakinnya kepada Islam, mengatasi keberanian Sayyidina Umar Al-Khattab r.a.
4. Satu-satunya makhluk Allah didunia ini yang diberi penghormatan dan kepercayaan oleh Allah dan RasulNya, mengahwini, memiliki dan menjaga dua orang puteri seorang Nabi.

Berdasarkan fakta diatas, persoalannya apakah orang seperti ini sanggup menyalah gunakan kuasa dengan mengambil harta Negara semata2 mahu berbudi dan mengambil hati sanak saudara? Mari kita lihat kata-kata Sayyidina Uthman yang dirakamkan dalam riwayat al-Tabari, antaranya:

“……Dan mereka mendakwa: Bahawa aku kasihkan keluargaku dan aku berikan mereka sesuatu. Maka sesungguhnya pada mereka tidaklah sampai menyeret mereka ke arah durjana. Bahkan sekadar aku tunaikan hak keatas mereka sahaja. Maka,sesungguhnya aku memberikan hadiah kepada mereka dari harta milikku sendiri. Aku tidak akan sesekali menghalalkan segala harta muslimin bagi keperluan diriku dan tidak juga bagi seseorang manusia yang lain. Sesungguhnya, aku pernah mengeluarkan pemberian yang meluas daripada harta milikku pada zaman Rasulullah, Abu Bakar dan Umar r.a dahulu sedangkan kalau dibandingkan keadaanku pada waktu itu, masih dikira kurang berada. Adakah patut ketika aku berada dia atas gigi kaum keluargaku (ketua keluarga) dan umurku kian meningkat dan lalu aku serah apa sahaja yang aku miliki pada kaum keluargaku, tiba-tiba golongan mulhid (penentang) it uterus mendakwa apa yang telah mereka dakwakan itu….!”

Satu perkara yang lain harus diberikan perhatian ialah harta Negara samada yang berbentuk wang ringgit atau harta benda ditempatkan di dalam BaitulMal. Pada zaman Khalifah Uthman bin Affan, pengurus besar BaitulMal ialah Zaid bin Thabit r.a. malahan setiap kali khalifah keluar mengerjakan haji ke Makkah, maka beliau akan memangku jawatan khalifah. Ini menunjukkan bahawa khalifah tidak boleh sewenang-wenangnya masuk sesuka hati ke dalam BaitulMal dan sebarang urusan mestilah diusulkan kepada pengurus besar beliau. Zaid bin Thabit adalah seorang yang terkenal dengan sifat amanah dan salah seorang yang diamanahkan menulis Al-Quran, maka bila dilihat atas sikapnya memang mustahil untuk terjadi kes pecah amanah. Sekiranya khalifah Uthman membuat perbuatan khianat pecah amanah ini pasti akan ditentang oleh beliau. Akan tetapi, di sepanjang perjalanan BaitulMal pada zaman khalifah Uthman r.a. tidak terdapat laporan yang menyatakan berlakunya pecah amanah yang melibatkan khalifah dan pihak BaitulMal.


Isu 8: Khalifah Uthman bersikap diskriminasi dengan memilih keluarga sendiri sebagai pegawai kerajaan

Dalam isu yang terakhir ini akan dibentangkan tentang khalifah Uthman yang didakwa melantik ahli keluarga sendiri sebagai pegawai kerajaan. Sebelum perkara ini dihuraikan mari kita teliti apakah fakta dan keistimewaan Bani Umaiyah:

1. Dalam sejarah Jahiliah, keturunan Bani Umaiyah merupakan orang yang hebat dalam perniagaan dan perusahaan, sebab itu golongan ini melahirkan ramai tokoh yang pengurusan dan pentadbiran yang cekap lagi baik. Apabila mereka menerima Islam, kekuatan dalaman yang berupa iman itu melengkapkan lagi kesempurnaan mereka yang sebelum ini pakar dalam bidang pentadbiran. Hal ini bertepatan dengan sabda Rasulullah s.a.w. :

Maksudnya: “…Manusia itu umpama logam yang bernilai, sekiranya mereka telah menjadi pilihan semasa jahiliahnya, maka ia juga akan terus menjadi pilihan apabila sudah di dalam Islam, terutama apabila mereka telah benar-benar faham tentang Islam”.
(Al-Qastallani, Irsyad al-Safri fi Sahih al-Bukhari)

2. Pada zaman pemerintahan Rasulullah s.a.w. sendiri, antara kriteria pemilihan seseorang untuk menjawat jawatan penting Negara ialah berkebolehan, berwibawa dan bukan berdasarkan keturunan. Rasulullah sendiri menerima orang dari kedua-dua Bani ini untuk menyandang jawatan dalam pemerintahan baginda. Dikhabarkan ¾ daripada para pegawai kanan dalam pemerintahan Rasulullah sendiri merupakan dari golongan Bani Umaiyah.

Kenyataan diatas telah menunjukkan bahawa Rasulullah sendiri memberikan kepercayaan kepada golongan Bani Umaiyah untuk menjadi golongan pentadbir dalam pemerintahan baginda, jadi perkara apa yang harus dipertikaikan lagi. Seperkara yang memang dilupakan dalam lipatan sejarah ialah Bani Umaiyah dan Bani Hasyim adalah satu keturunan yang sama iaitu bermula dari Abdul Manaf bin Qusai, moyang Rasulullah dan dalam masa merupakan moyang kepada Khalifah Uthman juga, jadi perkara ini hanyalah tuduhan yang tidak berasas, jika Khalifah Uthman melantik sanak saudara beliau bukankah bermakna melantik orang yang susur galurnya sama dengan Rasulullah dan Sayyidina Ali? Khalifah Uthman bukanlah orang yang mementingkan sanak saudara sahaja malahan beliau juga melantik keturunan dari Bani Hasyim untuk mentadbir iaitu Abdullah bin Amir bin Kuraiz sebagai gabenor Basrah dimana sebelah ibunya merupakan keturunan Bani Hasyim iaitu melalui al-Baidha binti Abd. Mutalib, emak Saudara Rasulullah sendiri.Maka perkara ini dilihat hanya tohmahan yang tidak berasas dari penentang beliau dan hanya mengikut nafsu semata-mata.wallahu’alam

Sampaikan ilmu setiap hari, inilah saham yang tidak pernah rugi

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...