photo akidah_zpsa5d101ab.png

:::Rakan:::

Monday, October 21, 2013

Hikmah Turunnya Al-Quran kepada Masyarakat (Bahagian 2)



Bismillah..

Sambungan dari bahagian pertama beberapa hari yang lepas ada disebutkan tentang hikmah penurunan Al-Quran dalam bab pembaikan aqidah. Jadi setelah melakukan sedikit perbincangan dengan kawan serumah maka penulis dapat beberapa idea tentang hikmah penurunan Al-Quran ini. Terima kasih yang menyumbangkan pandangan.

Jadi untuk hikmah yang kedua ialah pembaikan Ibadah. Ibadah jika kita lihat dilakukan oleh setiap manusia yang bergelar Muslim atau lain-lain agama. Setiap agama mempunyai cara penyembahan mereka sendiri, contoh yang dapat kita lihat seperti Majusi mereka menyembah api dan kaum Quraisy pada zaman Nabi Muhammad s.a.w menyembah berhala dan berbagai-bagai cara lagi cara ibadah yang menyalahi fitrah manusia. Islam didatangkan dengan penyaksian dan juga ibadah utama yang dinamakan solat. Dengan turunnya Al-Quran memberikan kebaikan pada peribadatan setiap orang muslim.

Menurut ajaran Islam, akidah belum mempunyai erti, sebelum muslim tersebut melakukan pengabdian dan penyembahan kepada Allah, menurut peraturan yang telah digariskan oleh Allah kepada manusia itu sendiri. Ia sesuai dengan firman Allah s.w.t:


Maksudnya:
Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.
(Surah Ad-Dzariyyat: ayat 56)

Firman Allah:


Maksudnya:
Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat, dan rukuklah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang-orang yang rukuk.
(Al-Baqarah:ayat 43)

Maka dapat kita lihat kedatangan Al-Quran ini lengkap dengan pedoman dan bimbingan cara beribadah kepada Allah s.w.t dan ia juga merupakan pembaikan ibadah yang dilakukan manusia terdahulu. Ibadah dalam Islam menunjukkan perhubungan manusia dengan Allah Yang Maha Esa. Perhubungan ini tidak diwakilkan kepada sesiapa atau memakai perantaraan, ia berlaku secara langsung yakni secara terus.

Larangan penambahan atau mengadakan sesuatu yang bukan dari Al-Quran dan Sunnah Rasulullah juga dilarang sama sekali di mana ia dapat dilihat pada hadis Nabi s.a.w:

Telah menceritakan kepada kami Ya'qub telah menceritakan kepada kami Ibrahim bin Sa'ad dari bapanya dari Al Qasim bin Muhammad dari 'Aisyah r.anha berkata; Rasulullah s.a.w bersabda: "Siapa yang membuat perkara baru dalam urusan kami ini yang tidak ada perintahNya maka perkara itu tertolak"
(Hadis Riwayat Imam Bukhari)

Jadi dapat dilihat bahawa hikmahnya penurunan Al-Quran dalam bab pembaikan Ibadah. Wallahu’alam.


Sampaikan ilmu setiap hari, inilah saham yang tidak pernah rugi

1 comment:

  1. Salam berkunjung kembali. Perkongsian ilmu yang sangat menarik.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...